Friday, December 3, 2010

Panduan Cara Menadah Tangan Dan Berdoa Dengan Betul

Doa adalah senjata orang mukmin. Pelbagai cara orang menadah tangan ketika berdoa. Kaedah yang baik dan tampak sopan ketika bermunajat dengan Allah SWT adalah lambang kesungguhan, lambang penuh pengharapan kita kepada Yang Maha Esa.

Pada tapak tangan kita ada banyak lambang kebesaran dan kemuliaan Allah SWT sebenarnya, termasuk 99 nama Allah.

Menurut Ustaz Abdullah Mahmud ;

Kalau perhatikan betul-betul, kita akan nampak urat tangan kanan dan kiri bercantum seakan membentuk sampan.

“Apabila urat tangan itu bertemu ia akan menjadi hufur ‘ba’ . Titik ‘ba’ letak kan di hati kita. Kedudukan titik ‘ba’ lebih rendah dari tangan yang kita tadah.”

Setiap huruf hijaiah di dalam Al-Quran, Allah perintahkan satu malaikat menjaganya. Malaikat yang menjaga huruf ‘ba’ bernama ‘Har Hayaail‘.

Malaikat ini akan mengangkat doa kita terus mengadap Allah SWT tanpa sebarang perantara. Oleh itu berdoalah bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan.”

Berikut ini adalah kaedah atau cara menadah tangan dan berdoa dengan betul ;


  1. Angkat tangan ke paras dada
  2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan mengenai satu sama lain
  3. Apabila tapak tangan dirapatkan, urat atau garisan di tapak tangan akan bertemu dan menjadi melengkung berbentuk seperti huruf ‘ba’
  4. Titik bagi huruf ‘ba’ tu letakkan di hati. Kedudukan titik itu lebih rendah dari tangan yang kita tadah.
  5. Duduklah dalam keadaan yang penuh sopan. Cara duduk yang terbaik ialah duduk iftirash (duduk seperti duduk antara 2 sujud) atau duduk seperti dalam tahiyyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul. Jangan bersandar seperti orang malas!
  6. Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah dan menyebut nama-nama Allah yang lain, bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya, jika berdoa mohon dipermurahkan rezeki, sebutlah nama Allah (ar-Rozzaq).
  7. Doa diakhiri dengan puji-pujian pada Allah dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
  8. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dari hati kita. Gunalah bahasa yang mudah difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus dari hambaNya. Walau dalam bahasa apa kita cakap, Allah pasti faham. Namun, kalau dapat berdoa dengan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi SAW (dalam bahasa Arab), itulah yang terbaik.
  9. Ajarkanlah adab berdoa ini kepada seluruh ahli keluarga anda sejak dari usia kecil. InsyaAllah ini akan dapat membentuk peribadi baik anak-anak menjadi menjalani kehidupan.
  10. Sumber : Daripada Ustaz Abdullah Mahmud

    Photobucket

    Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak

    “Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.” (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)

    Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba- Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan.

    mendidik anak-anak tanggungjawab ibu bapa

    Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

    Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : “Tahukah engkau siapakah orang yang mandul?”

    Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.”

    Lalu Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”-(Maksud Al-Hadith )

    Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak.

    1. Kurang berdoa

    Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah:
    • Saidul (penghulu) Istighfar,
    • Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9),
    • Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38)
    • Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)

    Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah:

    • Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128),
    • Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74)
    • Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

    2. Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti:

    • Menakutkan anak-anak dengan sekolah
    • Menakutkan dengan tempat gelap
    • Menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
    • Menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur


    3. Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
    Tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak dan terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

    4. Menegur anak secara negatif

    Mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

    5. Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani.

    6. Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak. Sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka.

    Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda.

    Berkata Aqra’ : “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.”

    Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

    7. Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

    8. Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

    9. Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan bersama, solat berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

    10. Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

    11. Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

    12. Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

    13. Membenarkan orang yang tidak elok sahsiahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

    14. Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

    15. Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

    Petikan dari ustazmelaka.net

    Photobucket

    Manfaatkan Cuti Sekolah Anak-anak

    Mari kita manfaatkan cuti sekolah anak-anak kita dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah :) :) :)

    Langkah #1: Tetapkan matlamat yang perlu dicapai sepanjang cuti sekolah ini.

    Langkah ini adalah sangat penting, memandangkan semua aktiviti yang akan dirancangkan adalah berpandukan kepada matlamat ini. Terpulang kepada anda untuk menetapkan sebanyak mana matlamat yang ingin dicapai, akan tetapi pastikan matlamat tersebut insyaAllah boleh dicapai sebaik sahaja tamat cuti sekolah kali ini. Dalam entri ini, saya akan merancang jadual waktu untuk anak soleh berdasarkan matlamat ini.

    Selepas tamat cuti sekolah, anak akan dapat menghafaz Surah Yaasin, Al Mulk & As Sajadah

    Langkah #2: Tetapkan berapa jam sehari & jumlah hari yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut

    Menggunakan matlamat tadi, untuk menghafaz surah-surah tersebut, anak soleh saya memerlukan masa ini;

    Hafazan dibuat 5 jam sehari (10 hari pertama; hafaz surah Yaasin, 10 hari kedua; hafaz surah Al Mulk dan 10 hari ketiga; hafaz surah As Sajadah)

    Langkah #3: Rancangkan jadual waktu aktiviti harian.

    Contoh:

    5.00 pg: Tahajud

    5.30 pg: Solat Subuh berjemaah

    6.00 pg: Amalan selepas subuh (Baca Yaasin & Zikir)

    6.30 pg: Mulakan hafazan ayat baru (30 minit)

    7.00 pg: Tidur sebentar

    8.30 pg: Persiapan diri dan Sarapan

    9.00 pg: Fadhilat Membaca & menghafaz Al Quran

    9.35 pg: Mulakan hafazan (2 jam 30 minit)

    12.00 tghri: Makan tengahari dan rehat

    1.00 ptg: Solat zohor berjemaah

    1.30 ptg: Majlis Taklim (Fadhilat Amalan) & Muzakarah

    2.00 ptg: Hafazan (1 jam)

    3.00 ptg: Rehat

    4.00 ptg: Solat Asar berjemaah

    4.30 ptg: Zikir & Dakwah kebesaran Allah

    5.00 ptg: Riadhah

    6.30 ptg: Makan Malam & Persiapan Maghrib

    7.00 mlm: Solat Maghrib Berjemaah

    7.30 mlm: Amalan Selepas maghrib (Baca Surah Al Mulk dan As Sajadah -lihat mashaf)

    8.00 mlm: Solat Isya’ berjemaah

    9.00 mlm: Bacaan Kisah Sahabat

    9.30 mlm: Hafazan (1 jam)

    10.30 mlm: Fadhilat Tahajud & Tidur

    Nota;

    • Jadual ini disusun mengikut waktu solat. Selepas setiap solat, disiplinkan anak-anak untuk melakukan amalan selepas solat.
    • Selitkan masa untuk bercerita atau membaca fadhilat atau kelebihan mencapai matlamat yang telah kita tetapkan. Misalnya; sekiranya matlamat kita adalah untuk menggalakkannya menghafaz Quran, maka perlu dibanyakkan bercerita tentang fadhilat dan janji-janji Allah untuk orang yang menghafaz Al Quran.
    • Sediakan jadual waktu yang seimbang, di mana ada masa rehat, makan, riadhah, dakwah dsb.
    • Ada baiknya jika disediakan jadual hujung minggu yang berbeza sedikit daripada jadual hari-hari biasa. Bawalah anak-anak berjalan-jalan atau lakukan aktiviti bersama di luar rumah pula.
    • Yang lebih baik, sekiranya aktiviti harian ini dapat dilakukan bersama-sama dengan ibu atau bapa. Inilah masanya untuk membina hubungan yang akrab bersama anak-anak kita :)

    Semoga Berjaya!

    Photobucket

    Wednesday, December 1, 2010

    4 jenis ibubapa, kita jenis yang mana?


    Di dalam membicarakan tentang jenis-jenis ibubapa dan kesan mereka terhadap perkembangan anak-anak, pakar seringkali mengklasifikasikan ibubapa berdasarkan dua faktor utama, bagaimana mereka mempengaruhi anak dan bagaimana mereka memberikan reaksi terhadap anak.

    Faktor yang pertama, adakah kita seorang yang selalu mempengaruhi anak? baik dari segi memberikan arahan, ancaman, nasihat, peringatan dan sebagainya. Maknanya, berapa banyak kita bertindak secara pro-aktif terhadap pendidikan anak-anak kita. Berapa banyak ransangan-ransangan pemikiran, emosi, mahupun fizikal yang kita terapkan kepada anak-anak kita dalam seharian? Bagaimana sikap kita dalam membetulkan dan mendesak anak untuk berubah?.

    Ini menjadi kayu ukur pertama bagi pakar pendidikan untuk mengukur kita ini sebagai ibubapa yang jenis mana.

    Faktor kedua pula adalah, bagaimana kita prihatin terhadap apa yang anak keluarkan. Maksudnya, bagaimanakah kita memberikan reaksi terhadap tindakan mereka, perkataan mereka, keinginan mereka, cerita-cerita yang keluar dari mulut mereka, tindakan-tindakan mereka, semua ini akan menjadi kayu ukur berapa banyakkah kita sebagai ibubapa prihatin terhadap kehendak anak dan bagaimana kita memberika reaksi positif terhadap semua itu.

    Ini adalah kayu ukur kedua.

    Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibubapa yang selalu membentuk perilaku anak dan sangat peka terhadap perasaan dan kehendak anak digelar sebagai Gaya Asuhan Authoritative.

    Ibubapa yang selalu membentuk perilaku anak, namun kurang peka terhadap perasaan dan kehendak anak pula digelar sebagai Gaya asuhan Authoritarian. Gaya Asuhan ini mudah difahami dengan istilah “kuku besi”.

    Ibubapa yang kurang membentuk perilaku anak, namun sangat peka terhadap perasaan dan kehendak anak digelar Gaya Asuhan Indulgent.

    Dan yang terakhir, ibubapa yang kurang membentuk perilaku anak malah tidak peka terhadap kehendak dan perasaan anak digelar Gaya Asuhan Neglect.

    Gaya Asuhan Indulgent

    Saya mulakan dengan menerangkan tentang gaya asuhan ini kerana hasil daripada kajian menunjukkan yang rata-rata ibubapa di Malaysia adalah ibubapa yang menggunakan kaedah pendidikan seperti ini. Mereka kurang bersikap proaktif dalam mendidik dan lebih banyak memberikan reaksi terhadap perkembangan dan apa yang ditunjukkan oleh anak.

    Mereka percaya bahawa semua sikap anak-anak sewaktu kecil akan hilang secara sendirinya apabila mereka dewasa, jadi mereka mempunyai kadar kesabaran yang lebih tinggi terhadap perbuatan dan sikap anak.

    Yang baiknya adalah mereka merupakan ibubapa yang sangat prihatin terhadap sebarang tindak balas anak, sangat memerhatikan keinginan anak dan sangat memberikan kebebasan terhadap anak-anak untuk membuat kerja mereka sendiri. Hasilnya anak akan mempunyai kepercayaan diri yang sangat tinggi, sehingga kadang kala tidak realistik. Ini adalah kerana mereka selalu mendapat pujian dari ibu bapa. Mereka juga jarang mengalami masalah kemurungan disebabkan suasana mereka dibesarkan.

    Anak-anak yang dibesarkan dengan gaya keibubapaan sebegini biasanya akan bersikap manja, mendapat keputusan yang lemah atau sederhana, dan berkebarangkalian untuk menjadi pelajar yang bermasalah di sekolah. Mereka seringkali kurang berdisiplin dan bertindak mengikut perasaan mereka sendiri.

    Gaya Asuhan Authoritatif

    Gaya asuhan ini mudah untuk difahami. Ibubapa banyak meletakkan peraturan dan memberikan arahan kepada anak. Ibubapa menyuruh anak untuk sentiasa mematuhi arahan-arahan dari mereka. Mereka juga jarang menerangkan tentang mengapa arahan arahan tersebut diberikan.

    Kesannya, anak yang dibesarkan mengikut kaedah ini biasanya akan mendapat pencapaian akademik yang sederhana, mereka juga mempunyai kemahiran sosial yang lemah, dan kerap murung. Kanak-kanak dalam usia 2-3 tahun yang dibesarkan dalam suasana begini seringkali mengalami tingkah laku agresif yang tinggi.

    Gaya Asuhan Authoritative

    Sekiranya ingin menggunakan bahasa mudah, gaya asuhan ini adalah seupama menggunakan demokrasi di dalam rumah tangga. Ibu bapa menganggap anak-anak juga merupakan satu unit dalam keluarga yang mempunyai pendapat dan kehendak mereka sendiri, namun dalam masa yang sama mengetahui bahawa mereka masih belum lagi mampu berdikari sendiri.

    Perbezaannya berbanding gaya asuhan sebelum ini adalah ibubapa bertindak proaktif dan mendesak anak-anak untuk berubah ke arah apa yang mereka kehendaki disamping pada masa yang sama tetap mengekalkan sikap prohatin terhadap apa yang anak inginkan dan apa pendapat mereka terhadap sesuatu perkara.

    Ibubapa jenis ini akan selalu:

    1. Menerangkan mengapa sesuatu itu perlu dilakukan dan mengapa perkara yang sebaliknya tidak boleh dilakukan. Bukan cuma marah sahaja tanpa memberi penerangan.

    2. Menanyakan kehendak anak-anak dalam membuat sesuatu keputusan dalam rumah tangga, sekiranya keputusan tersebut melibatkan mereka. Namun dalam masa yang sama, secara lembut mengarahkan pendapat anak-anak ke arah kebaikan.

    3. Menetapkan peraturan di rumah, namun peraturan tersebut boleh dipinda sekiranya anak dapat memberikan alasan yang kukuh mengapa peraturan tersebut perlu dipinda.

    4. Menggalakkan anak untuk berdikari dan melibatkan mereka di dalam sebarang keputusan yang dibuat dalam keluarga.

    5. Lebih banyak menggunakan pujukan dan nasihat yang secara tidak langsung, berbanding arahan dan hukuman.

    Gaya keibubapaan seperti ini lebih banyak dijalankan oleh ibubapa golongan pertengahan ataupun golongan yang berpendidikan. Kelebihan Gaya Pendidikan seperti ini adalah ianya akan melahirkan anak yang mempunyai kepercayaan diri yang tinggi, biasanya anak akan lebih mampu berdikari, mendapat keputusan yang cemerlang, lebih ramah dan mudah mempercayai orang lain, kurang kebarangkalian untuk murung, jarang menjadi pelajar tercicir dan pelbagai lagi kebaikan dari hasil pendekatan keibubapaan sebegini.

    Gaya Asuhan Neglect

    Seperti yang digambaran oleh perkataan “neglect”, Gaya asuhan sebegini adalah seperti mengabaikan sahaja anak-anak. Ibu bapa tidak mendesak anak untuk berubah, malah tidak memperdulikan perasaan anak. Malah keperluan asas anak-anak pun sering diabaikan.

    Ini adalah gaya yang paling teruk sekali.

    Jadi anda adalah ibubapa yang macam mana?


    Photobucket
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...