Mari kita manfaatkan cuti sekolah anak-anak kita dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah
Langkah #1: Tetapkan matlamat yang perlu dicapai sepanjang cuti sekolah ini.
Langkah ini adalah sangat penting, memandangkan semua aktiviti yang akan dirancangkan adalah berpandukan kepada matlamat ini. Terpulang kepada anda untuk menetapkan sebanyak mana matlamat yang ingin dicapai, akan tetapi pastikan matlamat tersebut insyaAllah boleh dicapai sebaik sahaja tamat cuti sekolah kali ini. Dalam entri ini, saya akan merancang jadual waktu untuk anak soleh berdasarkan matlamat ini.
Selepas tamat cuti sekolah, anak akan dapat menghafaz Surah Yaasin, Al Mulk & As Sajadah
Langkah #2: Tetapkan berapa jam sehari & jumlah hari yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut
Menggunakan matlamat tadi, untuk menghafaz surah-surah tersebut, anak soleh saya memerlukan masa ini;
Hafazan dibuat 5 jam sehari (10 hari pertama; hafaz surah Yaasin, 10 hari kedua; hafaz surah Al Mulk dan 10 hari ketiga; hafaz surah As Sajadah)
Langkah #3: Rancangkan jadual waktu aktiviti harian.
Contoh:
5.00 pg: Tahajud
5.30 pg: Solat Subuh berjemaah
6.00 pg: Amalan selepas subuh (Baca Yaasin & Zikir)
6.30 pg: Mulakan hafazan ayat baru (30 minit)
7.00 pg: Tidur sebentar
8.30 pg: Persiapan diri dan Sarapan
9.00 pg: Fadhilat Membaca & menghafaz Al Quran
9.35 pg: Mulakan hafazan (2 jam 30 minit)
12.00 tghri: Makan tengahari dan rehat
1.00 ptg: Solat zohor berjemaah
1.30 ptg: Majlis Taklim (Fadhilat Amalan) & Muzakarah
2.00 ptg: Hafazan (1 jam)
3.00 ptg: Rehat
4.00 ptg: Solat Asar berjemaah
4.30 ptg: Zikir & Dakwah kebesaran Allah
5.00 ptg: Riadhah
6.30 ptg: Makan Malam & Persiapan Maghrib
7.00 mlm: Solat Maghrib Berjemaah
7.30 mlm: Amalan Selepas maghrib (Baca Surah Al Mulk dan As Sajadah -lihat mashaf)
8.00 mlm: Solat Isya’ berjemaah
9.00 mlm: Bacaan Kisah Sahabat
9.30 mlm: Hafazan (1 jam)
10.30 mlm: Fadhilat Tahajud & Tidur
Nota;
- Jadual ini disusun mengikut waktu solat. Selepas setiap solat, disiplinkan anak-anak untuk melakukan amalan selepas solat.
- Selitkan masa untuk bercerita atau membaca fadhilat atau kelebihan mencapai matlamat yang telah kita tetapkan. Misalnya; sekiranya matlamat kita adalah untuk menggalakkannya menghafaz Quran, maka perlu dibanyakkan bercerita tentang fadhilat dan janji-janji Allah untuk orang yang menghafaz Al Quran.
- Sediakan jadual waktu yang seimbang, di mana ada masa rehat, makan, riadhah, dakwah dsb.
- Ada baiknya jika disediakan jadual hujung minggu yang berbeza sedikit daripada jadual hari-hari biasa. Bawalah anak-anak berjalan-jalan atau lakukan aktiviti bersama di luar rumah pula.
- Yang lebih baik, sekiranya aktiviti harian ini dapat dilakukan bersama-sama dengan ibu atau bapa. Inilah masanya untuk membina hubungan yang akrab bersama anak-anak kita
Semoga Berjaya!
No comments:
Post a Comment